Friday, November 28, 2008

Say NO to...

Dalam Islam, batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah jelas dinyatakan. Pengharaman pergaulan bebas tanpa sempadan dalam Islam ini bukanlah bagi tujuan mengikat kebebasan manusia untuk bersosial, tetapi lebih kepada satu bentuk perlindungan kepada mereka yang lemah. Begitu juga undang-undang yang Allah s.w.t. gariskan melalui jalan Al-Qur’an dan hadis. Undang-undang bukanlah bertujuan untuk menghukum, ianya sebenarnya bertujuan untuk memberikan keadilan kepada mereka yang teraniaya supaya setiap perbuatan jahat dan buruk ke atas individu yang berkenaan dibalas dengan hukuman yang setimpal. Pentingnya menjaga batas pergaulan dalam Islam digambarkan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. di bawah.

Dari Ibnu Abbas r.a., katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan, melainkan harus disertai mahram. Begitu juga seorang perempuan tidak boleh berjalan sendirian, melainkan harus bersama-sama seorang mahram.” Tiba-tiba berdiri seorang lelaki, lalu dia bertanya: “Isteriku hendak menunaikan ibadat haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ, bagaimana itu ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah : “Pergilah kamu haji bersama isterimu!”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Jika berperang mempertahankan Islam dari serangan puak kufur diperintahkan Rasulullah s.a.w. supaya dikirikan dan didahulukan pula tanggungjawab menemani isteri yang bakal mengerjakan haji, maka di sini sangat penting bagi kita untuk mengetahui bahawa setiap dari wali itu sangat dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan mahramnya yang berurusan dan mempunyai pekerjaan yang harus dilakukan. Jika seorang wanita yang dewasa sekalipun diperintahkan Rasulullah s.a.w. supaya ditemani suaminya atau mahramnya, apatah lagi jika anak-anak gadis kita yang berusia muda remaja.

Islam tidak membataskan pergerakan wanita, malah menggalakkan mereka terlibat sama dalam semua aktiviti yang bersesuaian dengan keupayaan mereka hatta menyertai pasukan tentera Islam di medan perjuangan sekalipun. Tetapi biarlah semua persekitaran pekerjaan dan aktiviti yang melibatkan kaum hawa ini memberikan satu jaminan keselamatan ke atas diri mereka dan tidak menindas atas dasar sexist yang dengannya memberikan mereka satu persekitaran yang kondusif bagi kemajuan diri para wanita dan ummah.

Satu persekitaran yang kondusif bererti mereka di beri peluang sama-rata untuk maju serta hak keselamatan mereka terpelihara dari anasir buruk serta gangguan dari mana-mana pihak. Antara faktor yang membantu melahirkan persekitaran kondusif, kehadiran mahram adalah sama sekali perlu dan menjadi keutamaan agar hak- hak dan keselamatan mereka dilindungi. Ingat! Sebahagian dari ummah ini ialah wanita dan mereka jugalah yang bakal melahirkan generasi ummah pada masa hadapan.

Menafikan sumbangan dan keupayaan mereka bererti membunuh ummah itu sendiri. Saya melihat perkara ini tidak jauh, cukup dengan contoh ibu, ibu mertua, isteri dan adik perempuan saya sendiri, mereka merupakan antara wanita yang mempunyai pandangan-pandangan kritikal yang membuka minda sekaligus dapat memberikan satu teguran membina dalam halusnya kelembutan jiwa mereka. Setiap cetusan yang diberi merupakan alternative kepada pandangan keras dari minda seorang lelaki.

Sesungguhnya Allah itu Maha Halus dalam setiap ciptaanNya. DiciptaNya wanita bukan untuk tunduk kepada Adam tetapi realitinya untuk membantu Adam sebagai check & balance dalam memainkan peranan sebagai khalifah di muka bumi ini. Mengapa mesti ditolak pandangan dan kritikan dari wanita sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri seringkali menjadikan mereka sebagai sumber mendapatkan pendapat dan buah fikiran.

Banyak peristiwa yang dicatatkan hadis di mana Rasulullah s.a.w. mendengar pandangan dari wanita dalam membuat sesuatu keputusan dan adakalanya pandangan tersebut yang diambil baginda, menyelamatkan keadaan ummah yang ada ketikanya diambang pergaduhan. Ini terbukti dalam kes Abdullah Bin Ubay semasa tentera Islam pulang dari perang dengan Bani Mushtaliq.Rasulullah s.a.w. telah menggariskan batasan-batasan yang perlu dipatuhi dalam hubungan antara bukan mahram bagi mengelakkan segala perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketahuilah! Seorang lelaki bukan mahram tidak boleh bermalam di rumah perempuan janda, kecuali jika dia bernikah dan suaminya ada di rumah, atau ada muhrimnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebagaimana yang sering diketengahkan dan dibentangkan di dada-dada akhbar serta makluman yang diterima daripada statistik, majoriti dari kes-kes serangan seksual dan rogol yang mendatangkan kecederaan berlaku ke atas golongan wanita dalam lingkungan umur 30 tahun dan ke atas. Mengikut laporan, majoritinya merupakan kes-kes dimana wanita-wanita tersebut diserang oleh kenalan, teman lelaki, bekas teman lelaki atau bekas suaminya sendiri.

Oleh kerana kebanyakan dari wanita yang mengalami keruntuhan rumahtangga memilih untuk hidup sendiri dan tidak membebankan ibubapa atau mana-mana mahramnya, maka mereka ini sedikit sebanyak terdedah kepada bentuk-bentuk kemudaratan tidak terjangka dalam kehidupan sehari-hari, apatah lagi apabila mereka mengambil ringan batas-batas pergaulan sebagaimana ditetapkan Allah dan RasulNya. Manusia yang didorong oleh hati yang kotor, nafsu serta syaitan, tentunya tidak akan melepaskan mana-mana peluang yang terhidang di depan mata terutama jika mangsa nanti tidak mampu bertindak balas. Jadi langkah terbaik ialah mencegah sebagaimana yang telah digariskan Allah s.w.t. dalam Al-Qur’an dan melalui hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Dari ‘Uqbah r.a. Bin Amir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda : “Hindarilah olehmu masuk ke rumah-rumah wanita!” Lalu bertanya seorang Ansar. “Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang Al Hamwu (keluarga dekat bagi suami, cth: pak cik, saudaranya, anak saudara dan sebagainya).” Jawab Rasulullah s.a.w., Bahkan itu lebih berbahaya.” (Hadis Riwayat Muslim)

1400 tahun yang lalu, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita tentang batasan-batasan ini. Sekiranya mereka yang kita kira sebagai rapat dikatakan Rasulullah s.a.w. sebagai lebih berbahaya, maka apatah lagi dengan bahaya oleh orang-orang luar yang tidak atau baru dikenali.

Firman Allah SWT bermaksud;
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya”. [An Nur: 30-31]

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. [Al Ahzab: 59]

[dipetik dan diolah dari: http://groups.google.com.my/group/KoleKsi-TerKiNi-HiDuP-SeMaSa]

No comments: