Lilypie Maternity tickers

Monday, August 31, 2009

Rahmat Allah

"Ramadhan kali ni rasa kurang zouq la..."

"Kurang zouq?" Tanya aku.

"Ye la, perasaan 'Rabbaniy' tak terasa. Rasa jauh je. Ibadat pun kurang. Selalu penat je... Study, sume".

" Rasa jauh dari pandangan Rahmat" Sambung Abdullah Zahid lagi.

Subuh tadi, 10 Ramadhan, selepas bersahur. Aku menemaninya di sinki dapur membasuh pinggan. Tidak menyangka topik ini yang akan menjadi pencetus perbualan. Baru semalam aku merasakan begitu; jauh dari Rahmat Allah, dari pandangan Kasih dan Sayang Allah S.W.T.

Abdullah Zahid, adik lelakiku yang baru meningkat 19 tahun pada 28 Jun yang lalu kini pelajar tahun pertama Jurusan Pergigian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Jarang sekali dapat berbual hati ke hati sebegitu dengannya. Aku cuba menanggapi apa yang dilaluinya. Cuba memberikan pendapat dan semangat.

"Kalau rasa jauh, kena la buat sesuatu. Tak boleh cakap je..." Aku melontar apa yang berada di benakku.

Benar. Andai sudah terasa rindunya, jika tidak diusahakan untuk disampaikan, apakah akan terbalas rasa?

Abdullah memandang aku dalam. Lama. Kosong. Mungkin ingin dikatakan sesuatu tetapi tidak terdaya. Mungkin dia telah mencuba. Mungkin dia telah berusaha. Aku cuba memahami makna pandangan itu. Aku menepuk belakangnya lembut sambil memberikan senyuman agar dia terubat.

Teringat pada alunan nashid "Air Mata Keinsafan" dendangan The Zikr yang aku putar semalam:
Air mata keinsafan
Yang mengalir di malam sepi
Inilah dia pelembut jiwa
Bagi mendapat kasih Ilahi


Rintihan di pertiga malam

Dari seorang hamba yang dhoif

Kerna mengenang segala dosa
Moga mendapat keampunan dari Ilahi

Setiap kekasih Allah

Menempuhi jalan ini

Untuk mereka memiliki kejayaan

Ayuh bersama kita susuli
Perjalanan kekasih Allah
Agar kita tiada rugi

Dalam meniti hidup ini


Deraian air mata ini

Titisan yang paling berharga

Buat menyimbah api neraka
Moga selamat di titian Sirat
Bahagia menuju syurga abadi
Aku pasti Abdullah merasakan kejauhan seperti yang pernah aku rasai. Kerana terlalu terikat dengan dunia hingga menyebabkan kita leka. Ilah yang sepatutnya diutamakan bukan lagi Allah. Bila sahaja Allah memanggil buku-buku didahulukan, tidur didahulukan, TV didahulukan, internet, blog, facebook, freindster didahulukan, anak-anak didahulukan. Segala yang berbentuk dunia didahulukan sebelum Allah. Mana tidaknya kita merasa jauh dari Kasih SayangNya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Aisyah r.ha. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika berada di dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w. sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.”

Rasulullah S.A.W qudwah hasanah, uswah hasanah, HabibAllah. Baginda pemimpin teladan, contoh terbaik, kekasih kecintaan Allah. Andai Rasulullah dengan tanggungjawabnya yang berlipat-liapat kali ganda, yang ujiannya jauh lebih sukar tetapi masih mampu menjadi KEKASIH ALLAH, tidakkah kita ingin menjadi seperti Baginda? Hidup penuh rahmah dan barakah. Bukan sahaja di dunia, waima di akhirat juga sudah diberi kepastian untuk bersama Allah, Tuhan yang Maha Agung, Maha Kuasa.

بسم الله الرّ حمن الرّحِيم
رَبَّنَا لاَتُؤَاخِذْنَآ إِنْ نَّسِينَآ أَوْأَخْطَأْنَا
رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا اِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَي الَّذِيْنَ مِن قَبْلِنَا
رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَالاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ
وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْلَنَا وَارْحَمْنَا اَنْتَ مَوْلاَنَا فَنْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma`aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir"
(Al Baqarah: 286)

Semoga kita sentiasa menginsafi kekhilafan diri. Penuhi kelompongan yang ada. Dengan kedatangan Ramadhan marilah kita sama-sama taqarrub ilallah--mendekatkan diri kepada ALLAH. Cuba sedaya upaya mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam kelekaan, lagha dan maksiat (hati, lisan dan perbuatan). Semoga kita sentiasa memperoleh hidayah dan taufiqNya dalam kehidupan sementara yang fana'.

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman
(Al-An’am ; 125)


"Thabbit qalbi 'ala dinnik wa 'ala tho'atik". Untuk sentiasa kekal dalam ketaatan, kita harus sentiasa memperbaharui niat, tingkatkan amalan dan perbuatan baik yang disukaiNya. Tambahan dengan keberadaan di dalam bulan ramadhan, pulangan yang dijanjikan berganda. Marilah kita kejar peluang keemasan ini. Mungkinkah dapat kita berjumpa dengan Ramadhan akan datang. Insafi diri, perbaiki hati. Teguhkan iman, pertingkat amalan (Islah Nafsi):

  • Solat Fardhu awal waktu
  • Tadarrus Al Qur'an
  • Qiyamullail
  • Sadaqah dan amal jariah
  • Amalan-amalan sunat yang lainnya
Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang difirmankan Allah dalam ayat di bawah:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

(Al-A’raf ; 179)

Jadikanlah kesempatan yang diberi ini umpama peluang terakhir untuk kita memperoleh REDHA ALLAH. Di situ ketenangan, di situ kebaikan, di situ kebahagiaan hakiki.

Kebaikan itu adalah budi pekerti yang baik, dan dosa itu adalah apa-apa yang tergores di dalam hatimu sedang engkau tidak suka orang lain mengetahuinya.
(HR Muslim)

Allahu'a'lam

1 comment:

Orang Kampung said...

betapa Allah ingin memberi Rahmat kepada umatnya dengan apa cara sekalipun..

dengan mencampakkan rasa risau dan inginkan kebaikan juga adalah rahmat Allah..

bila mana setiap umat rindukan peringatan adalah tanda kasih Allah S.W.T..