Friday, August 21, 2009

Kisah Aku, Dia dan Mereka [Ramadhan Special]

Bismi ALLAH Ar-RAHMAN Ar-RAHIM...

Semoga RABBUL 'IZZAH sentiasa dibesarkan di setiap saat dan ketika, di setiap tempat dan suasana. ALHAMDULILLAH, dikurnia lagi kesempatan untuk bertemu dengan Bulan ALLAH, Bulan RAMADHAN.

Ketika menjelma Sya'ban, rindu di hati menunggu ketibaan Ramadhan semakin meluap-luap. Ingin benar masa berlalu pantas. Sentiasa diri mencuba melazimi saum dan tahajjud tika sahaja punya kesempatan dan kekuatan.

Sungguh, tatkala diri merasakan dekat denganNya, tika diri sentiasa rasa diKasihi dan di dalam pemantauanNya banyak ujian yang datang menjengah. Satu demi satu dihadapkan. Kesemuanya menguji sabar, yaqin dan taqwa. Terasa diri amat lemah, amat kecil, penuh kehambaan. Bait-bait lagu dendangan UNIC sentiasa terngiang:
"Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba"
Kini menjelma Ramadhan. Terasa rindu terubat. Pengharapan yang semakin menggunung aku hidangkan buat Al Samad yang sentiasa dirindui. Kerinduan yang bermacam-macam pula terbit...
Rindukan ketenangan
Rindukan keselamatan
Rindukan wajah-wajah al Bait yang jauh di mata tetapi dekat di hati
Rindukan pandangan Rahmat
Rindukan SYAHID FI SABILILLAH
Rindukan ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA

Sungguh! Hati ini benar-benar rindukan DIA. Tiap kali ujian menjengah terasa Dia dekat. Amat dekat! Mungkin yang pernah merasa memahami perasaan indah ini. Teringat kata-kata Ayah semasa menghantar ku pulang ke UIAM seminggu yang lalu. Kata Ayah,
"the most important is SABAR and TAQWA. Once you have attained them, then everything in this life will be in His Redha."

Oh ALLAH, terasa kecintaan ini semakin menebal. Mungkin aku bukanlah yang selayaknya menyatakan cinta. Diri ini belum tinggi sabarnya, belum tebal taqwanya. Tapi rasa ini ikhlas.

SABAR. Bukan sesuatu yang mudah. Menuturkan sabar mudah, mengejakan sabar mudah, tapi melakukannya memerlukan YAQIN. Percaya. Trust. Faith. IMAN.


Pagi ini cukup untuk menilai dimanakah tingkatan kesabaran diri. Ketika dalam perjalanan pulang, seperti biasa aku menunggu Rapid T231 di perhentian bas berdekatan Mahallah Hafsa. Sedikit berbeza kali ini, perjalanan pulangku ditemani dua sahabiah--Nas dan Kak Sham.

"Dekat setengah jam dah ni, mana T231 ni tak nampak-nampak batang hidungnya" monologku sendiri. Nas juga sudah kelihatan sedikit gelisah.

"Tak makan lagi ni, aduh..."
Keluh Nas berbaur kecewa.

"Lepas ni kot. Lepas metro biasa sampai la" kata Nas memujuk hati.

"Kalau tak sampai?" tanyaku sinis. Kak Sham yang duduk di bangku bersebelahan kelihatan tenang dengan 'mask' menutup separa muka.

Sesampainya kami di Hentian LRT Putra, terlihat kelibat dua orang polis. Salah seorang kelihatan berulang alik menyampaikan sesuatu pesanan kepada bakal penumpang. Seperti biasa penumpang-penumpang beratur panjang di hadapan kaunter tiket. Seorang polis mendekati kami,

"Hari ni LRT hanya akan bawa sampai ke Terminal Wangsa Maju dan akan patah balik. Sesiapa yang nak ke KL Sentral, bas akan disediakan ke Keramat"

Diulang-ulangnya ayat yang sama seperti guru mengajarkan ayat kepada murid sekolah.

"Eh, sampai Wangsa Maju je? Pastu cmana kita ni Nas?", "Aduh, maknanya kita beli tiket sampai ke Wangsa Maju je la ye? Pastu naik bas? Kat Keramat nanti kita naik train balik?" bertubi-tubi soalan aku ajukan pada Nas yang jelas diwajahnya serabut memikirkan keadaan kami ketika itu.

Aku faham benar dengan sikap Nasriah Mohamed Ropi. Tahap sabarnya mudah teruji. Tambahan kali ini merupakan kali pertama dia perlu menaiki kenderaan awam pulang ke Sungai Buloh setelah sekian lama dia berkereta pulang ke rumah. Keretanya dipinjam Abang Ijat.

"Haish. Dah la lapar ni, tak sarapan lagi..." Keluh Nas sendiri.

Tiba giliran Kak Sham mengaju soalan, "Macamana ni Naheed? Akak tak tahu ni..."

"Takpe kak, kita ikut je Nas"

"Nasib baik ada Naheed, takde la akak sorang-sorang"

Aku tersenyum, "nasib baik ada Nas. Hehe"

Tren Rapid 201 tiba di platform Putra. Sesak. Penuh. Tin Sardin. Itulah gambaran kami berada di dalam tren tersebut. Seketika berada di dalamnya, aku mula resah, "bila tren ni nak gerak ni? nak tunggu apa lagi?" "nak tunggu raya agaknya", Nas memintas, cuba bergurau.

Kasihanaku melihat wanita Cina yang sekali-sekala melihat jam di tangannya. Sudah hampir 11 pagi. Aku dengan ramahnya bertanya,

"are you off to work?"

"yes, I'm going to work" jawabnya ringkas.

"akak keje kat mana?"soalku lagi.

"di Wangsa Maju saja" jawabnya bernada Melayu-Cina. Aku menganngguk tanda memahami.

Dalam hati, "kesiannya, bila la tren ni nak gerak." Hampir 10 minit kami terperangkap dalam tren sebelum ianya bergerak menuju Wangsa Maju.

Setibanya kami di terminal Wangsa Maju, kelihatan berbondong-bondong penumpang yang berpusu-pusu mengejar bas shuttle yang dijanjikan untuk ke Keramat.

Kali ini bas lebih padat daripada sewaktu kami menaiki tren. "Ini baru betul tin sardin" kata hati kecilku.

Aku menjeling sambil tersenyum sinis pada kedua-dua 'teman permusafiran'ku, Kak Sham dan Nas. Kedua-dua juga tersenyum sinis membalas.

Kami mengambil keputusan untuk menunggu bas yang seterusnya. Biarlah sedikit lewat asalkan kami selamat sampai ke destinasi. Penumpang yang berhimpit-himpit jelas kelihatan rimas. Ada yang berdiri di sipi pintu masuk. Tika pintu bas ditutup, lelaki tersebut tersepit. Agak kuat bunyi paksaan pintu bas tertutup.

"Bahayanya Ya Allah..." ucapku dalam hati. "Semoga mereka selamat" doaku.

Seorang pegawai Rapid lengkap berjaket biru sambil memgang 'walkie talkie' yang bising dengan suara manusia berbalas informasi terkini datang mendekati kami.

"Ada disediakan dua bas. Bas yang pertama tayarnya pancit. Sekarang kita hanya ada satu bas sahaja. Harap dapat bersabar ye." katanya dengan senyuman ikhlas penuh harap.

"Setengah jam lagi la ye" kata Nas semakin gelisah. Begitu juga aku, tapi aku kurang menzahirkan. Dalam hati santiasa basah kalimah "MasyaAllah, inilah ketentuanNya, inilah kemahuanNya".

Allahuakbar, Allahurrahman, Allahurrahim. Denga kasih dan kuasanya, tidak sampai beberapa minit, satu bas lagi dijadikan bas shuttle. Kami diminta menaiki bas yang berada di sisi jalan.

ALHAMDULILLAH. Kalimah keramat yang keluar dari mulut kami bertiga. Leganya, bertuahnya. Dalam bas ini, kami bertiga semuanya mendapat tempat duduk. Lebih selesa, lebih selamat. Alhamdulillah. Semuanya milik Mu Ya ALLAH!


Kami akhirnya tiba di KL Sentra dengan selamat. Banyak lagi situasi yang menguji kesabaran sepanjang perjalanan. Cukuplah sekadar ini untuk menggambarkan sedikit sebanyak keperitan yang amat kecil jika hendak dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh para syuhada'.

Rasulullah bersabda; “ …dan sesiapa yang bersabar,maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas(manfaatnya) daripada kesabaran.”
Riwayat Bukhari dan Muslim


Sabda Rasulullah s.a.w.

واعلم أن النصر مع الصبر

Maksudnya; Dan ketahuilah sesungguhnya kemenangan dan kejayaan itu bersama orang yang sabar.


Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t berkata;

إذا ابتليت عبدي بحبيبتيه ثم صبر عوضته منهما الجنة

Maksudnya; Apabila Aku menguji hambaku dengan kehilangan dua orang yang disayangi lalu ia bersabar nescaya aku gantikan keduanya dengan syurga.


Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:

1. Bersabar dalam mengerjakan segala perintah Allah.

2. Bersabar dalam meninggalkan segala larangan Allah

3. Bersabar dalam menghadapi ujian kesusahan dan kepayahan.



Mari kita bersama renung ayat Allah ini yang amat sinonim dengan akhlaq kita:

إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا (19) إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا (20) وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا (21)

Maksudnya; Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir.

Firman Allah swt;

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya; Dan kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.(al-Baqarah:155).


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya; Hai orang-orang yang beriman, Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.: Dan Allah sayang kepada orang-orang yang sabar.( Ali Imran :200)


إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya; Sesungguhnya Hanya orang-orang yang Bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.(al-Zumar:10)


Semoga Ramadhan kali ini mendidik jiwa-jiwa yang lemah ini untuk lebih yakin dengan ALLAH, tingkatkan SABAR, capai keTAQWAan yang teguh tak terkesan dek badai nafsu, jin dan syaitan.

Marilah kita sama kenal-kenali diri dan Diri. Semoga Allah bersama-sama kita sentiasa.

Aku sering pesankan ini: selalulah tanya hati, "APA YANG AKU TUJU"
Jawabku, "Yang ku tuju ALLAH, MARDHIAHNYA, MAGHFIRAHNYA!"

Semoga pengharapanku ini sampai lepas kepadaNYA.

ALLAHU TA'ALA 'A'LAM...

Salam setenang hembusan Ramadhan. Jom sama-sama cari diri dan DIRI. ALLAHUAKBAR!

No comments: