Lilypie Maternity tickers

Monday, August 30, 2010

Ingin Bertemu


Bismillahirrahmanirrahiim.

Ingin benar bertemu dengannya. Malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Berikan kesempatan Ya Rabbul 'Izzah andai ini pertemuan terakhirku dengan Ramadhan.

Amiin thumma amiin.
Amiin Ya Rabbal 'Alamiin.


***

Sedikit perkongsian...

Lailatul Qadr: Kepentingan dan Penghayatannya.

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, [2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); [5] Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Surah Al Qadr: 1-5)

Perbincangan mengenai Lalilatul Qadr, tidak dapat tidak mestilah bersandarkan kepada Surah Al-Qadr. Surah ini diturunkan sesudah Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah. Justeru, Surah Al-Qadr menceritakan sesuatu yang cukup istimewa yang memerlukan keyakinan tinggi untuk mempercayainya.

Ayat di atas berdasarkan katakunci berikut:

1. Menurunkan... 2. Lailatul Qadr... 3. Tidak kamu ketahui... 4. Lebih baik daripada... 5. Seribu bulan... 6. Diturunkan malaikat dan ruh padanya... 7. Dengan izin tuhan mereka... 8. min kulli amr... 9. sejahtera... 10. sehingga terbit fajar...

Maksud dan fokus ayat di atas diperkuatkan oleh satu Hadis Nabi yang bermaksud:

"Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah."
(Riwayat Ibnu Majah)

Surah Al-Qadr dan Malam Al-Qadr

Salah satu ayat dalam surah Al-Qadr menyentuh malam kemuliaan iaitu malam penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran). Malam Al-Qadr merupakan malam penuh keberkatan (iaitu mendapat keampunan, rahmat dan keredhaan Allah s.w.t.) dan ditetapkan oleh Allah segala urusan berdasarkan kebijaksanaanNya. Pengertian surah Al-Qadr sepatutnya dibaca bersekali dengan surah Al-Dukhan ayat 3-5 yang bermaksud:

[3] Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). [4] (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). [5] Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. [6] (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya). [7] Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; kalau betul kamu orang-orang yang yakin (akan hakikat itu, maka terimalah sahaja apa yang diutuskan kepada kamu). [8] Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Dialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan; (Dialah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.

Kebiasaannya, jika Allah melakukan bentuk "ayat tanya" dalam Al-Quran ia menggambarkan kemuliaan dan pengagungan akan sesuatu dan perkara ini adalah jelas dalam Surah Al-Qadr. Pengagungan di sini diharapkan agar manusia memperbanyakkan pengisian ibadah pada malam itu dan diisi dengan amalan-amalan soleh yang berbagai. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa pengagungan kepada malam ini menunjukkan bahawa Nabi sendiri tidak mengetahui ketepatan masa berlakunya. Maklumat tentang keistimewaan malam Al-Qadr hanya dapat
diketahui melalui Al-Quran dan Al-Sunnah.

Istilah qadr mempunyai tiga maksud; iaitu pertama; menetapkan, kedua kemuliaan dan ketiga penyempitan. Dilihat pada makna pertama iaitu menetapkan, pada malam tersebutlah Allah telah menentukan perjalanan hidup manusia melalui seruan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. ke arah jalan yang hak dan menolak kebatilan dan itulah aturan jalan ketetapan yang ditentukan Allah walaupun penuh ranjau duri. Kedua, malam tersebut adalah semulia malam jika diteliti berlakunya penurunan Al-Quran (nuzul Al-Quran) dan pengiktirafan Allah terhadap malam tersebut. Ketiga, berlakunya kesempitan di dunia kerana jumlah kehadiran para malaikat yang
membawa rahmat dan keampunan Allah.

Persiapan menghadapi malam Al-Qadr ialah selama 10 hari sebab ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan, bukannya sehari dua. Pastinya Allah akan menganugerahkan malam Al-Qadr pada mereka yang bersedia untuk 10 malam dan bukan hanya untuk semalam dua sahaja. Inilah falsafah Lailatul Qadr iaitu kita perlukan dalam kehidupan ketika persiapan yang teliti tanpa membenarkan ruangruang kerugian untuk mendapatkan kerahmatan dan keredhaan Allah s.w.t... Adapun ketentuan malam Al-Qadr itu pada malam-malam ganjil adalah untuk tidak terlalu memenatkan kita beribadah berterusan pada 10 malam terakhir kerana ada keselangselian. Allah pastinya menganugerahkannya pada orang yang ikhlas.

Bilakah Waktu Sebenar Lailatul Qadar?

Ia berlaku setiap tahun, bukannya hanya pada ketika ia diwahyukan atau tahun ayat itu diturunkan sahaja. Pertamanya, Lailatu Qadar hanya akan berlaku dalam bulan Ramadhan. Kedua, kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Ini adalah pendapat yang paling rajih (absah). Ketiga, ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Sebuah laman web meramalkan bahawa Lailatul Qadr pada tahun ini jatuh pada malam 27 Ramadan 1427H bersamaan 20 Oktober 2006 (Lihat http://www.whenis.com/lailat-al-kadr-2006.asp ; dilayari pada 9 Oktober 2006], tahun 2007 – 9 Oktober 2007, tahun 2008 – 28 September 2008, tahun 2009 – 17 September 2009 dan tahun 2010 – 6 September 2010. Ramalan-ramalan ini adalah sesat belaka dan tidaklah benar bahkan bertentangan dengan nas-nas yang sahih. Ini adalah kerana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak pernah memaklumkan bilakah waktu sebenar Lailatul Qadr.

Apakah Dasar Keimanan Tentang Lailatul Qadr?

Di antara perkara yang perlu diimani dalam perkara berkaitan Lailatul Qadr ialah:
1. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadr.
2. Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.
3. Para Malaikat dan ruh diturunkan pada malam tersebut.
4. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).
5. Ibadah yang jujur, ikhlas, konsisten, iltizam dan khusyuk pada sebarang masa.
6. Tiada tanda-tanda fizikal yang dijelaskan oleh nas kecuali khabar-khabar angin semata.
Kenapa Lailatul Qadr Dipilih Ianya Berlaku Pada 10 Malam Terakhir?

Inilah kebijaksanaan Allah s.w.t.. Setelah 20 hari berpuasa, manusia sudah mempunyai kekuatan tahap kerohanian dan tingakat kesedaran yang tinggi serta momentum yang diperlukan untuk mempertingkatkan ”gear tertinggi” dalam amalannya. Malaikat turun pada malam tersebut sehingga terdorong orang mukmin melakukan ibadah dengan izin Allah s.w.t. dan merasai sejahtera dan selesa hingga pagi.

Apakah Amalan Pada Malam Lailatul Qadr?

Ia adalah malam yang cukup istimewa yang tidak kedapatan pada mana-mana malam. Amalan yang mesti dilakukan pada malamnya ialah memperbanyakkan ibadah, membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdoa. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a. berkata:

"Ya Rasulullah bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar? Apa yang harus saya ucapkan pada malam itu?'' Baginda bersabda: Ucapkanlah: "Ya Allah kami bermohon pada-Mu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni (hamba-hambaMu), maka ampunilah (dosa-dosa) kami"."
(Riwayat Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Doa lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud:

"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan peliharalah kami dan siksa neraka."
(QS Al-Baqarah [2]: 201)

Metos Dalam Masyarakat Melayu Mengenai Lailatul Qadr

Menemui malam Al-Qadr tidaklah melalui tanda-tanda fizikal. Hanya Allah jualah yang mengetahui siapa yang dianugerahkanNya menemui malam tersebut. Tiada siapa sebenarnya mengetahui bilakah berlakunya atau telah berlakunya malam Al-Qadr. Di antara kejadian pelik yang merupakan metos yang dikaitkan dengan malam Al-Qadr ialah:

1. Air sungai berhenti mengalir.
2. Pepohon menunduk.
3. Bekunya air.
4. Pokok sujud ke bumi
5. Ufuk langit merah

Sebenarnya, pengalaman merasai malam Al-Qadr tidaklah dapat dirasai atau dialami oleh pancaindera. Kalaupun perkara-perkara pelik itu berlaku, ia hanyalah satu kebetulan dan ketentuan Allah s.w.t. semata-mata. Rebutlah beramal di malam-malam 10 terakhir Ramadan tanpa perlu melihat tanda-tanda fizikalnya. Adapun orang yang mengalami malam tersebut, adakalanya mereka sendiri mengetahui bahawa malam itu ialah malam Al-Qadr. Namun demikian, Allah lebih mengetahui. Ramai juga yang tidak mahu tidur pada malam yang dijangkakan Lailatul Qadr kononnya untuk bertemu dengan malam tersebut. Ini satu lagi perkara tahyul dan tidak berasas.

Pokok terpenting ialah mempertingkatkan amalan-malan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Kalaupun seseorang bertemu dengan malam Lailatul Qadr, akan tetapi tidak mempunyai amalan, persiapan ibadah atau penyucian batin, maka tidaklah ia mendapat keberkatan dan manafaat malam tersebut.

Petanda Berlakunya Lailatul Qadr

Petanda berlakunya malam istimewa ini boleh diketahui pada malam tersebut ataupun pada pagi berikutnya. Namun demikian, semua petanda yang diberikan dalam Hadis adalah terlalu umum dan sukar untuk dihuraikan kerana ketiadaan tanda spesifik dan berfokus. Petanda pada waktu malam ialah riwayat Imam Ahmad bin Hanbal:

Tandanya adalah langit bersih, terang bagaikan bulan sedang purnama, tenang, tidak dingin dan tidak pula panas ...”.


Hadis ini menepati keadaan dan suasana malam Al-Qadr yang sejahtera, tenang dan damai. Insyaallah pada malam Lailatul Qadr, barangkali langit tidak akan kelihatan awan hitam atau gumpulan awan tebal yang mengotorkan langit dengan noda. Katakanlah walau pada malam 27
Ramadan, langit kelihatan terang seperti malam 15 atau 16 bulan purnama. Maksud tenang sukar untuk digambarkan, mungkin merujuk kepada ketenangan malam dan suasana. Cuaca dan suhu tidak dingin dan tidak panas. Kalau di Malaysia barangkali antara 24 hingga 29 darjah celsius.

Petanda waktu pagi selepas malam Al-Qadr pula ialah riwayat Imam Muslim, Abu Daud, dan Al-Tirmidzi antara lain meriwayatkan melalui Ubai bin Ka'ab yang bermaksud:

"Tanda kehadiran Lailatul Qadr ialah matahari pada pagi harinya (kelihatan) putih tanpa sinar (nya).”

Apakah yang dimaksudkan di sini matahari tidak kelihatan kemerah-merahan pada waktu pagi? Wallahu A’lam.

Rumusan

Setiap fakta berkaitan malam Al-Qadr adalah perkara pokok dalam sistem kepercayaan Islam dan mesti diyakini sepenuhnya. Kita mesti bersedia dengan sepenuh persediaan amalan ibadah untuk mendapatkan malam Al-Qadr. Rugilah mereka yang tidak mengejarnya untuk mendapat keberkatan, keampunan dan keredhaan Allah s.w.t..
Dr. Amini Amir Abdullah Pengarah Pusat Islam
Universiti Putra Malaysia
aminiabdullah@yahoo.com
Kursus Induksi Pegawai Sokongan Universiti Putra Malaysia
17 Oktober 2006, Residence Hotel, UNITEN, 8.30am

ALlahu'alam

No comments: