Lilypie Maternity tickers

Saturday, November 6, 2010

Tarbiyyatul Awlad

Bismillahirrahmanirrahim.

Usai solat Maghrib, sedikit kurang khusyuk ketika mahu memulai bacaan doa. Di sudut katil Acha sambil berbaring membaca kuat dialog komik 'Ana Muslim' yang dibelinya semalam. Panjang. Saya turut sama mengikuti dan memahami jalan cerita yang dibacanya bersama nada dan lenggok suara.

*****

"Man, bangunlah. Dah lambat ni. Waktu sahur dah nak habis ni."

"Sahur? Ala, Man minum air je. Mengantuklah..."

"Man, sahur kan Sunnah Nabi. Man sayang Nabi tak?" [nada memujuk]

"Mestilah sayang. OK lah. Man sahur..."


Saya teliti dialog ini dan pantas terbayang di benak situasi sebenar kebanyakan ibu dan anak (lingkungan 5-7 tahun) di waktu sahur bulan puasa.


"Man, bangun. Dah nak dekat Subuh ni. Cepat bangun. Nanti tak sempat."

*terpisat-pisat, cuba untuk tidak diendahkan kejutan ibu*

"Man, dengar tak ibu cakap ni? Bangun. Nak ibu piat telinga tu?" [bernada tegas]

"Man tak nak sahur. Man nak tidur..."

"Ibu siram air nanti! Bangun!" [sedikit meninggi]

*****

Menjadi seorang ibu (juga ayah) perlukan ilmu yang pelbagai dalam mendidik anak. Mengetahui ilmu agama, hukum feqah dan fardhu 'ain belum cukup untuk mendidik anak memahami dan mengamalkan Islam secara berkesan (berkesan dalam erti kata mendidik hati, aqal dan diri mengenal dan mencintai ALlah, Rasul-Nya dan Islam dengan sebenar-benar kefahaman) bukan kerana terpaksa atau 'takut ibu/ayah marah'. Psikologi kanak-kanak perlu dititikberatkan. Kesan didikan yang sebagaimana yang mampu menyentuh dan menerangi hati nurani anak-anak ini sehinggakan terzahir pada akhlaqnya secara lahiriah.

Antara dua situasi di atas, ibubapa hari ini lebih cenderung untuk menggunakan amarah daripada kelembutan. Mungkin kerana pelbagai tekanan hidup termasuk tekanan di tempat kerja, hubungan suami-isteri yang dingin, pasangan yang tidak bersama menyokong dalam urusan pendidikan anak-anak, dsbnya menyebabkan anak-anak menjadi mangsa tekanan.

Mungkin juga ibubapa yang telah terdidik dari cara pembesaran yang dilaluinya ketika kecil, lalu megaplikasikan yang sama pada anak-anak. Namun menjadi hak anak-anak untuk mendapatkan pendidikan yang baik daripada kedua ibubapa. Anak itu si kecil. Anak itu juga insan. Dan anak itu amanah Tuhan.

Saya bukanlah seorang yang arif dalam bidang psikologi mahupun pendidikan kanak-kanak. Tapi yang pasti, di usia sebeginilah anak-anak akan menyerap sebanyak mana yang dialaminya dari kehidupan seharian sebagai satu pelajaran yang akan diguna-pakai ketika remaja dewasa. Dalam lingkungan usia ini, minda anak-anak seperti span yang akan menyerap apapun jenis cecair di sekitarnya. Andai diletakkan dalam takungan air keruh, maka keruhlah warna span tersebut dan begitulah sebaliknya.

Ada kaitan analogi di atas ini dengan pepatah Melayu: "melentur buluh dari rebung". Bentuk lenturan yang diberikan ketika rebung akan kekal bilamana menjadi buluh--tidak dapat diubah bentuknya lagi. Jika kekasaran yang diberikan, tidak mustahil anak itu akan membesar menjadi seorang yang kasar atau pemarah dan kurang adab dan hormatnya kepada orang tua termasuk ibubapa sendiri. Na'uzubillah...

"Do unto others the way you want others to do unto you".



"When you have children, be childlike with them and treat them well".

ALlahu'alam.


P.s.: Bila rasa nak marah atau berkasar, cuba ingat betapa payahnya kita mengandung dan melahirkan si bayi comel ini dahulu. [macam pernah je kan] Jum jadi lembut dan penyayang macam RasuluLlah S.A.W.! [Dah beli Tarbiyyatul Awlad? Jum beli+hadam!]

No comments: