Lilypie Maternity tickers

Wednesday, May 5, 2010

Malu...

Bismillahirrahmanirrahim.

Dewasa ini, manusia ramainya sudah mula terhakis sifat malu dalam diri. Sedangkan malulah perisai segala kejahatan. Malu pengangkat segala martabat. Malu; dalam erti kata al-Haya'; suatu perasaan yang disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadiannya lantaran kuatnya dia dalam menolak segala sesuatu yang negatif, bukan malu tersipu-sipu (al-Jahalu), malu tidak kena tempat, dsb.

Sekilas Dalil-dalil

Rasulullah saw bersabda; “Cabang iman itu terdapat 63 bahagian. Sedang malu itu sebahagian daripada iman.” (Bukhari:9 & Muslim:151)

Hadith yang lain menyebut; “Cabang iman itu 63 bahagian. Yang tertinggi adalah mengucapkan Lailaha illa Allah. Bahagian terendah adalah membuang rintangan dijalanan. Adapun malu itu sebahagian daripada iman.”(Abu Dawud:4676)

Lihatlah penting sifat malu hingga ia sebenarnya berkait rapat dengan keimanan. Maka lihatlah dimana sifat malu kita dan muhasabahlah. Kebanyakan kita tidak tahu malu sebenarnya.

Muara akhlak ialah malu

Rasulullah saw bersabda;

“Malu itu mengandungi kebaikan” (Muslim:156, Abu Dawud:4796)

“Malu itu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan.” (Bukhari:5766, Muslim:155)

“Malu itu sebahagian daripada iman dan iman tempatnya disyurga sedangkan buruk akhlak itu sebahagian dari kekerasan hati dan tempatnya dineraka. (Tirmizi:2009)

“Malu dan iman keduanya tidak boleh dipisahkan. Jika satunya terangkat maka yang lain jua turut terangkat.”(Musnad al-Hakim, 1:22)

Jika dicabut rasa malu itu maka tunggulah saat kehancuran

Rasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hambaNya maka ia akan menghilangkan rasa malunya, maka jika telah dicabut rasa malunya kamu tidak akan menjumpainya lagi kecuali ia membenci dan dibenci dan dicabutlah rasa amanah darinya. Maka jika dicabut rasa amanah darinya engkau tidak akan menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dan jika engkau tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dicabutlah rasa kasih sayang daripadanya. Dan jika kasih saying dicabut darinya maka engkau tidak menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat. Maka dicabutlah keislaman darinya.” (Ibnu Majah:4054)
Subhanallah, awal kehancuran adalah dicabutkan rasa malu. Astaghfirullah, di jalanan kita mendapati terlalu ramai manusia yang sudah hilang sifat malu. Mereka tidak malu dan secara terbuka melakukan kezaliman dan kemaksiatan sedangkan kita yang melihat sendiri yang berasa malu atas perbuatan mereka. Sedang mereka bangga dan bersikap acuh tidak acuh terhadap perkara yang mereka lakukan.

Bacalah sekali lagi hadith diatas, dan tanyalah diri kita. Adakah kita mempunyai sifat malu???

Suatu makna yang indah

Rasulullah saw bersabda;

“Sesungguhnya setiap agama ada akhlak tersendiri dan akhlak Islam adalah malu” (Ibnu Majah:4181)

Hadith tersebut tidak bererti satu-satunya akhlak dalam Islam adalah malu akan tetapi akhlak yang paling sempurna dalam Islam adalah sifat malu. Betapa agungnya malu dalam akhlak Islam!

Hadith yang mempunyai 2 makna

Rasulullah saw bersabda;

“Sesungguhnya apa yang diketahui oleh manusia dari sabda kenabian terdahulu ialah; Jika engkau tidak malu maka lakukanlah sesuka hati kamu.” (Bukhari:348, Ibnu Majah:4183)

Bahawa akhlak malu itu dimiliki para Nabi. Oleh itu kita dapat fahami,

1) Ancaman, jika tidak malu maka buatlah sesuka hati dan nantikanlah balasan Allah swt.

2) Kerja keras tanpa keluh kesah. Jika pekerjaan yang anda lakukan itu tidak tercela maka lakukanlah dengan sungguh-sungguh dan tulus ikhlas.

Rasulullah saw malu umpama gadis pingitan

Rasa malu Nabi melebihi gadis pingitan. Jika baginda melihat sesuatu yang tidak baginda sukai, maka akan merahlah muka baginda yang mulia itu dan menjauhkan diri dari melihatnya. Apa yang kita lakukan jika kita lihat sesuatu yang tidak elok? Apakah wajah kita akan memerah dan menundukkan pandangan kita? Mulai hari ini kita cerminkanlah diri kita!

Malu Seorang Gadis

Fatimah binti Utbah bin Rabi’ah berjumpa Rasulullah saw kerana ingin masuk Islam. Saat itu Aisyah ra ada bersama baginda. Nabi saw bersabda;

“Ya Fatimah, berbaiatlah kepadaku. Janganlah engkau menyekutukan Allah sw sedikitpun. Jangan mencuri, apalagi berbuat zina.” (Ahmad: 1/21)

Ketika Fatimah mendengar kata “zina” ia menutupi wajahnya dengan tangannya disebabkan malu. Rasulullah saw berasa hairan dengan sikap Fatimah tersebut lalu Aisyah ra berkata; “Ya Fatimah, berbaiatlah engkau kerana seluruh wanita telah berbaiat tentang hal itu.” Maka Fatimah pun berbaiat.

Mendengar perkataan itu sahaja membuatkannya malu, apatah hal-hal yang lebih dari itu. Dewasa ini pemuda pemudi kita sudah hilang sifat malunya. Gadis juga berperawakan lelaki, bercakap kasar, berkata-kata lucah, menghisap rokok dan sebagainya. Jika gadis-gadis sudah begini bayangkanlah pula pemudanya. Sukar dibayangkan betapa teruknya.

Dimanakah wanita seperti Fatimah ini?

Sampai Malaikat pun Malu KepadaNya

Nabi saw bersabda;

Apakah saya tidak malu terhadap Utsman? Sedangkan malaikat pun malu padanya! (Muslim:6159, Ahmad:VI/62)

Adakah diantara kita yang mempunyai seperempat atau sepersepuluh dari rasa malu Utsman? Diriwayatkan Utsman menikahi seorang gadis dan apabila dia meninggal dunia, isterinya itu ditanya mengapa dia tidak mahu menikah lagi sedangkan dia masih muda. Dia menjawab,” Sungguh aku tidak akan menjumpai orang yang selembut Utsman sebagai suamiku.”


ALlahu'alam... Semoga menjadi i'tibar dan teladan.


Dipetik dari laman sesawang Muslim Diary.

No comments: