Lilypie Maternity tickers

Friday, February 5, 2010

Bara itu; kau genggamlah...

Bismillahirrahmanirrahim

Seawalnya mahu menulis dalam bahasa yang aku fikir serentak dengan dunia. Bahasa yang rakanku di Belgium bisa faham dan catna. Tapi biarlah. Entri ini aku tuturkan dalam Bahasa Kita yang hanya kita yang faham.

Dunia. Apa yang kau faham dengannya? Apa yang kau mengerti darinya? Apa yang kau mahu darinya? Apa yang kau peroleh darinya?

Yang aku faham, dunia itu tempat tinggal kita. Dalam Bahasa Kita, namanya 'tempat tinggal'. Tinggal. Meninggalkan. Ditinggalkan. Tertinggal. Ketinggalan. Meninggal.

Ya. Meninggal. Satu hari nanti kita semua PASTI 'meninggal'. Kita akan 'meninggalkan' dunia. Orang-orang, manusia-manusia dan mereka semua itu akan 'ditinggalkan'. Semua yang fana' itu 'tertinggal'lah ia, tak dapatlah lagi dibawa bersama. Waima baju yang dipakai saat ini pun akan dilucutkan, hatta cincin kecil di jari yang harganya berjuta beribu juga dibuangkan. Apatah lagi kereta, rumah, isteri, suami, ibu, ayah, kekasih. PASTI DITINGGALKAN. Apa mereke mahu ikut serta kita bertemu Sang Ajal di pembaringan??? Apa mereka tak takut pada gelap kuburan itu? Apa mereka itu pastikah setia? Janji manusiawi yang katanya kan setia itu palsu! Tidak mereka bersama tika kamu geletar sendiri dalam kain putih itu.

TIDAK!

Nah, kamu tak percayakan pada KEMATIAN? Kamu nampak semut melata di meja? Cuba kamu tekan tubuh halus si kaki enam itu. Nah, apa dia masih bergerak???

Itulah MATI, duhai sayang...

Bila nyawa yang Dia beri sudah Dia panggil kembali.
Bila nyawa itu pergi 'meninggalkan' jasad si hamba kembali kepada Tuannya.

Itulah MATI, duhai cinta...

Cuba kamu tiupkan tubuh kecil si semut yang mati itu. Konon serupa lagaknya Tuhan Pemilik segala seperti tika Dia 'tiup'kan roh ke dalam jasad manusia. Tak mungkin...

Bila sudah ditinggalkan, tak mungkinkan kembali. Tidak, sayang. Tidak sekali-kali melainkan dengan 'Kun Fa Yakun' Pemiliknya jua.

Apa yang aku bebelkan ini sudah kamu tahu. Sudah. Bebel ini sudah berbuih di mulut manusia, sudah panas di telinga kita.

Tapi apakan daya,
Bila sedikit susah, mula terasa seperti dunia ini 'kekal'
Bila datang kecewa, dunia ini kau ingat 'selamanya'
Bila kau dimarahi ketua, dibenci sahabat, ditinggalkan yang tercinta,
dalam jiwa kau menjerit; "Aduh... kenapa?"
Bagai kau itu begitu sampai bila-bila...

Tidak sayang, tidak.

Dunia ini, singgah. Akan kau tinggalkan.
Sengsara kamu itu tidak lama. Pahit yang kau telan itu nantinya kan pergi jua, bukan begitu?

Jadi, apa yang kau bising-bisingkan, sayang? Apa yang kau marah-marahkan? Apa yang kau rayu-rayukan? Apa yang kau juara-juarakan?

Sudah-sudahlah harapkan dunia. Umpama digenggam bara. Jadi abu. Tiup. Terbang ia ke dalam udara. Yang tinggal tapak tangan yang kehangusan, parut yang mungkin kan sembuh??? Itulah DUNIA.

Ketika ia masih berbara, lihat ia bercahaya-cahaya. Kau rasa ia menghangatkan. Kau rasa ia menerangkan.
Takut padam; kau genggam, kau tekup dengan tapak tangan. Biar sakit kau aduhkan, biar perit kau tangiskan. Akhirnya...?

Alahai sayang, sudah-sudahlah...

ALlahu ALlah,

"Leraikanlah dunia yang mendiam di dalam hatiku..."

Amiin.

No comments: