Showing posts with label Mishkatku. Show all posts
Showing posts with label Mishkatku. Show all posts

Thursday, March 31, 2011

Wednesday, September 22, 2010

Thursday, June 24, 2010

Istimewa

Bismillahirrahmanirrahim.

Janggal rasa.
Kasih; ada.

Mahu:
Peluk dia erat, rasa hangat tubuhnya, degup jantungnya, biar sama, biar satu.
Bisik halus ke hatinya: "Tenanglah... Usah bersedih, duhai jiwa. Usah gundah, usah gulana. Dia ada!"

Sering menanggap makna tintanya dalam-dalam.
Yang ada: duka, sedih, sendiri, pedih, derita panjang tak berkesudahan.

ALlah...
Dia tidak sendiri, itu Janji-Mu.
Biar dia tahu, Tuhan. Biar dia tahu!
Kau ada di situ
biar tidak aku, biar tidak mereka, biar tidak siapa-siapa.
Kau ada!

Ya Rahman,
Terbitkan cahaya bahagia tenang untuk dia.
Biar dia tahu, dunia ini sekejap cuma. Bahkan kain buruk penuh cela!

ALlah...
Bukakan untuknya pintu-pintu kemudahan. Pegang teguhnya pada Janji-Mu.
Dia sedang mencuba. Ya, dengan sepenuh daya.
Pohonkan kekuatan buat dia senantiasa hingga ke sana, hingga di sana.

Agar sejahtera hatinya.
Selamanya
selama-lamanya--

Amiin Ya Rabbal 'Alamiin...


ALlahu'alam

[Khusus buat: dia, dia, dia, dia, dan kamu, yang masih mencari Cahaya Cinta. Ia ada. Ya, ada.
Sahabat, aku belajar ini tentang ujian: hadiah istimewa dari Tuhan buat hambaNya yang TERPILIH, lalu buat diri rasa tenang dan istimewa. Bahagia juga, kerana itu tanda kita dalam pemerhatianNya sentiasa. Lihat yang lain bergelumang bahagia duniawi lantas leka lalai lupa; diri itu hamba sahaya. Oh sahabat, thabatlah. Kau istimewa di Pandangan Al Khaliq! Istimewa!]

Tuesday, June 22, 2010

Kisah Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim.

Mari aku kisahkan padamu tentang bahagia.

Ada di sudut ceruk bumi ini mereka yang hidupnya berkelana tapi jiwanya penuh bahagia...

Ada juga mereka yang terasing dalam lingkungan kehidupan namun hati-hati mereka itu sehari-hari tersenyum penuh ceria...

Ada yang tubuh penuh kudis, luka, nanah, darah segala tapi di dalamnya punya jiwa yang indah, seindah keindahan muara pantai di hening senja...

Ada yang keluarga tergadai disiat bedil peluru di depan mata tapi getar nubari mereka berkata; “Tak mengapa, tubuh mereka yang menggelatar itulah yang akan aku rangkul di hadapan pintu syurga”...

Ada juga mereka itu yang saat lahirnya terbuang, dikutip manusia mulia lalu diberi sebuah hidup yang padanya terkandung senyum sinis, pandangan hina, bisik-bisik cela, tohmahan, kata nista...

Dan mereka ini tidak sekali gentar untuk menyanggah segala cela dunia
lalu hidup dan terus hidup untuk mereka yang curah kasih
dan hidup mereka hanya demi kasih itu dan Tuhan mereka.

Ada.
Ya, ada. Dan mereka itu bahagia!

Bahagia dengan tenangnya hati, besarnya jiwa, sucinya nubari.
Bahagia dengan rasa syukur pada apa lebih yang mereka ada.
Bahagia kerana tidak pernah berasa kecil dan pencil dengan apa yang tidak dipunya.

Kunci bahagia mereka; RASA CUKUP, SYUKUR DAN BERTERIMA KASIH akan setiapnya yang hadir dalam hidup, kerana antara mungkin;

Mereka ini faham; yang sukar hidup mereka itu, ada lagi yang lebih sukar...
Mereka ini sedar; terlalu banyak perkara indah dalam hidup mereka yang tiada pada mereka yang lainnya...
Dan mereka ini akur; bahawa setiapnya yang datang itu; perit atau indah itu, SEMUANYA PEMBERIAN TUHAN MAHA SEGALA.

Lalu semestinya pemberian Tuhan itu SENTIASA YANG TERBAIK... Bukan begitu?

Nah, ini kisah aku tentang bahagia...
Moga ia hadirkan bibit-bibit bahagia yang kau cari-carikan...

Semoga berjumpa--



***

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."
(Ali Imran:103)

***


ALlahu'alam.


[ternukil tatkala merenung sakit perit derita sendiri sedang ramai siksa sakitnya jauh lebih tak tertanggungkan jiwa dan badan... ALlahu ALlah... NastaghfiruLlah, innALlah, kana tawwaba]

Saturday, June 19, 2010

Misykaatul Anwar... [Buat Adik]

Bismillahirrahmanirrahim.

Titipan ini khas buat Adik yang aku remuk redamkan hatinya. Maaf.

Kakak tahu kata maaf tak Adik perlu. Ya, bukan maaf.

Duhai Adik yang sudah Kakak anggap seperti adik sendiri, bukti; hanya kamu seorang yang Kakak panggil 'Adik' dalam ramai-ramai adik tidak sedarah-sedaging yang Kakak ada. Mahu tahu kenapa? [Kakak pun juga pelik kenapa kamu yang terpilih.]

Pertama; nama.
Naheed; dalam bahasa Parsi, maknanya BINTANG. Dan kamu kan BULAN?

Kedua; keturunan.
Kita punya ikatan darah di sini; pada keturunan Muhammad ibni Abdullah.

Ketiga; jiwa.
[tak perlu dihurai di tinta ini ya]

Nah, mahu kamu tahu sesuatu; walau secara 'jasad'nya kita ini jauh, tapi kamu itu di hati Kakak dekat. [Sangat dekat, tahu.]


Adik,
Kerana Bintang dan Bulan itu berkaitnya dengan CAHAYA, nah Kakak sisipkan "Misykaatul Anwar", Imam Ghazali buat pengisi hati...


Bab 7 - Sumber Semua Peringkat Cahaya: ALLAH
Kemudian ingin saya hendak beritahu saudara bahawa peringkat-peringkat cahaya ini bukanlah naik ke atas tanpa had. Had atau peringkat muktamatnya ialah cahaya yang bercahaya dengan sendirinya. Cahaya tidak didatangkan dari punca yang lain ; bahkan cahaya itulah yang mengeluarkan cahaya kepada yang lain, menurut susunan dan peringkat masing-masing.

Tanya diri saudara sendiri. Manakah yang lebih patut dipanggil cahaya; yang bercahaya sendirinya dan menyinari yang lain, atau pun yang cahayanya datang dari sumber lain dari dirinya?. Tentu saudara telah tahu jawapannya, bukan? Dengan itu, dapatlah kita kesimpulan bahawa panggilan cahaya itu sebenarnya patut diberi kepada cahaya tertinggi itu. Di atas itu tidak ada cahaya lagi, bahkan cahaya yang lain itu datang daripadanya.

Berani saya katakan bahawa istilah "cahaya" ini sepatutnya diberi kepada cahaya yang tertinggi itu dan yang lain dari itu sebenarnya tidak bercahaya. Cahaya yang ada pada yang lain itu adalah pinjaman semata-mata. Mereka sendiri tidak mempunyai cahaya, hanya berharapkan cahaya pinjaman. Jadi, mereka sebenarnya tidak ada cahaya. Memanggil "orang yang meminjam" dengan nama "orang yang memberi pinjam" adalah semata-mata panggilan tanpa isi sebenarnya. Cubalah fikirkan, siapakah sebenarnya yang mempunyai barang (di sini katakanlah, kuda), orang yang memberi pinjam kuda tunggangan atau orang yang meminjam kuda tunggangan itu? Yang mempunyai kuda tunggangan itukah yang berharta (di sini berkuda) atau orang yang meminjam itu yang berharta? Orang yang meminjam itu tetap tidak mempunyai kuda kerana kuda bukan dia yang punya. Yang mempunyai kuda itulah tuannya.

Oleh yang demikian, cahaya hakiki ialah Dia yang menjadikan makhluk dan mentadbir mereka itu. Dia yang memberi cahaya dan menahan cahaya. Tidak ada sekutu baginya. Cahaya itu Dia punya. Yang lain tidak berhak campur tangan dalam urusanNya. Kecuali ada juga Dia menggelar yang dijadikan itu "cahaya" semata-mata kerana ia menghendaki supaya dipanggil demikian. Ibarat tuan yang hendak memberi hanya satu hadiah, dan diberinya hamba itu nama "tuan". Apabila hamba itu menyedari hakikat ini, dia pun tahulah bahawa dirinya itu dan kepunyaannya itu adalah hak tuannya, bukan hak dirinya. Allah itulah tuan yang mempunyai sekelian Alam, dan tidak ada apa dan siapa pun yang bersyarikat dengan Dia.

Sekarang tahulah saudara bahawa cahaya itu ialah yang kelihatan dan ternampak.

Saudara juga telah tahu peringkat-peringkat cahaya itu. Selanjutnya saudara tahu juga bahawa tidak ada gelap yang lebih gelap dari "bukan wujud" kerena sesuatu benda yang gelap itu dipanggil "gelap" kerena ia tidak kelihatan. Ia tidak terlihat meskipun ia ada wujud. Tetapi yang tidak ada wujud pada pandangan orang lain dan pandangan dirinya adalah yang paling gelap.

Sebaliknya atau lawannya ialah wujud, dan wujud ialah cahaya, kerena kecuali benda itu terzhohir pada yang lain, wujud itu terbahagi kepada dua jenis. Satu, ialah yang mempunyai wujud pada dirinya; dan dua, ialah wujudnya itu didapati dari bukan dirinya. Wujud jenis yang kedua ini ialah wujud pinjaman, yang bererti tidak wujud sendirinya, bahkan pada hakikatnya, ia tidak wujud. Wujud itu itu tergantung kepada yang lain. Oleh itu, pada hakikatnya ia tidak wujud, seperti perumpamaan orang yang mempunyai kuda dengan orang yang yang meminjam kuda tadi.

Oleh itu Wujud Hakiki ialah Allah Subhanahuwa Taala dan juga cahaya hakiki ialah Allah Subhanahuwa Taala jua.


ALlahu'alam.

[Adik, kalau mahu lari, biar bersama, ya? Umpama bulan dan bintang juga.]