Alhamdulillah, masih punya baki tenaga, masa, buah fikiran untuk dikongsi bersama. Moga memberi manfaat kepada semua termasuk diri.
Entri kali ini bukan seperti entri-entri sebelumnya yang bersifat serius dan formal. Kali ini hanyalah sekadar perkongsian pengalaman dua insan; aku dan Diana.
Diana seorang gadis awal remaja, 11 tahun yang akan menamatkan pengajian sekolah rendah yang penuh dengan saat-saat ceria, gembira, sedih, menangis dan ketawa. Seorang adik dan kakak dalam keluarga. Diana seorang yang ramah, selalu ingin menjadi ketua dan mendapat perhatian selayaknya dari teman-teman dan masyarakat sekeliling.
Seperti gadis lain Diana punya cita-cita mahu cemerlang dalam pelajaran namun dia juga faham akan kondisi keluarga yang memerlukan dia berkorban masa luangnya juga masa belajar untuk menjaga adik-adiknya tika ibu perlu menyediakan kuih untuk jualan, tika abang perlu ke kelas tuisyen dan tika adik-adik merengek mahukan makan, susu, mahu dibersihkan dan diberi perhatian.
Keluarga Diana bukan dari kalangan yang hidup punya serba-serbi. Walaupun menetap di bandar keluarga Diana masih tidak mampu untuk mengadakan sesuatu yang dianggap kebiasaan bagi masyarakat bandar. Mereka hidup sekadarnya tidak mewah apa lagi untuk hidup dalam kelewahan.
Diana seorang yang gemar membaca dan menulis. Di sekolah, tika tiba waktu Pelajaran Komputer, Diana merupakan yang pertama antara rakan sekelasnya yang tiba awal di Makmal Komputer. Dia akan menggunakan sepenuh masa yang diberi untuk mengakses laman-laman sesawang yang dirasakan berguna.
Apabila ada masa terluang, Diana akan membelek dan membaca apa sahaja buku-buku yang dijumpainya di rumah termasuk buku cerita kanak-kanak, buku teks sekolah dan majalah-majalah.
Aku amat kagum dengan sifat Diana yang tak malu untuk belajar.
Allah Maha Pengasih ketemukan kami dalam satu program yang aku dan teman-teman anjurkan. Diana merupakan anak kepada Kak Latifah*, seorang senior yang juga antara urusetia yang mengendalikan program. Kak Latifah membawa kesemua anak-anaknya memandangkan ketika itu cuti sekolah penggal akhir telah pun bermula. Bukan sahaja Diana, aku juga berkesempatan mengenali seisi keluarganya termasuk suami Kak Latifah sendiri.
Aku begitu mudah mesra dengan Diana bukan kerana sifatku yang sememangnya meminati kanak-kanak tetapi kerana sikap Diana sendiri yang gemar bertanya dan berkongsi.
Ketika aku dan teman mengendali slot LDK (Latihan Dinamika Kumpulan), aku diminta Kak Latifah untuk membawa Diana bersama. Tujuannya adalah untuk Diana belajar sebanyak mungkin dari aku dan teman-teman termasuk mengalami sendiri bagaimana rasanya menjadi peserta program Latihan Kefasilitatoran.
Setiap perkataan atau istilah yang digunakan yang kurang difahami dan dirasakan sukar atau baru, Diana tidak takut untuk bertanya dan belajar. Setiap persoalan yang berlegar di dalam benaknya akan terus diajukan padaku tanpa segan silu.
Semasa program, aku membawa komputer ribaku bersama kerana ada kerja yang perlu aku selesaikan sebelum program tamat. Aku dapat lihat sinar pada mata Diana ketika dia melihat komputer riba itu. Cepat-cepat dia duduk rapat di sisiku.
"Komputer akak eh?"
"Iye, kenapa Diana?"
"Takdelah" Diana menjawab sambil tersenyum simpul. Tangannya menyentuh skrin komputer kemudian ke papan kekunci.
"Dapat internet ke kak?"
"Dapat", jawab aku sambil memulangkan senyuman.
"Diana ada emel?" soalku sengaja memancing umpan.
"Tak ada, tapi kawan ada", "Akak ada emel? Akak buat apa tu? Kenapa akak baca tu semua? Kerja ke?"
Banyak sungguh soalannya. Bertubi-tubi. Tak tahu yang mana satu harus aku jawab dulu.
"Akak kena baca ni sebab nanti bila program takde la akak ternganga bila ada perbincangan tentang ni nanti."
Diana memandang skrin lama. Aku cuba menyelami kemahuannya.
"Diana nak cuba?"
Terukir senyuman lebar di bibir. "Nak kak!" sahutnya gembira.
"O.K. tapi boleh guna Microsoft Word je tau. Jangan sentuh atau buka yang lain. Tau?" Pesan aku bersungguh-sungguh.
Aku mahu beri pengalaman itu pada dia. Aku mahu Diana bermotivasi untuk lebih cemerlang. Diana tahu bahawa pelajar universiti seperti aku punya peluang untuk menggunakan komputer peribadi. Aku mahu dia punya keinginan untuk melangkah jauh. Bukan sekadar angan-angan kosong.
"O.K. O.K." Diana mengangguk laju.
Aku pindahkan komputer ribaku ke atas ribanya. Tak lama selepas beberapa minit aku tinggalkan dia bersendirian kerana aku harus kembali ke dalam kumpulan.
Selang beberapa minit Diana datang perlahan merapati, "Akak, Ummi suruh berhenti. Ummi kata nanti akak nak pergi lain. Ummi suruh akak simpan." Aku mengangguk tanda faham.
Sebelum aku menyimpan komputer ribaku, aku menyimpan titipan cerita yang Diana taipkan dalam komputer itu. Aku simpan dokumen itu dengan nama "Cerita Diana".
Bila aku buka kembali, rupanya cerita itu masih berbaki, masih belum punya klimaks mahupun penutup.
Pada suatu hari seorang pengemis itu berfikir bagai mana ingai mencari makanan untuk anak dan isteri. Pengemis mendapat idea untuk mencuri sayur-sayuran di rumah orang kaya itu. Pengemis mencuri
Aku amat berharap coretan Diana yang kecil ini dapat dibesarkan Aku harap dapat ketemu lagi dengan Diana, adikku yang bijak!
"Oh Allah, temukan kami kembali dalam Rahmah dan InayahMu. Amiin."
*bukan nama sebenar
Wallahu'alam.
2 comments:
Kak na, saya pun rindukan Diana juga.
:(
adik naheed
indah ceritanya...
indah juga hatimu ^^
lawa template..hehe
all the best untuk natijah imtihan, ok :)
take care
love
Post a Comment