Wednesday, November 11, 2009

Malam Tari Menari

Malam ini, malam tari-menari.

Saat ini hanya mahu menari, jari. Tariannya yang mungkin kekok, hambar, songsang, sumbang.
Malam ini jiwa jadi latar muzik tarian. Tidak zapin, tidak juga balada, juga bukan inang.

Jari ligat menari meluahkan gelodak akal yang kian sesak. Ikut irama jiwa...

Liuk lentok jari mengukir seribu faham rasa. Mahu punya peminat tapi pentas kosong.
Hanya dengung tapak tari yang berbunyi bersahut-sahut dengan muzik jiwa. Senandung hati mula melata suara;

Aku ini
Lihatlah
Mahu kamu yang pertama
Biar dia tak faham!
Biar mereka dengki dan benci!
Kerana mahu kamu mengerti...
Hanya mahu kamu yang pertama!

Aku ini
Dengarlah
Bisu
Tapi bersuara
Hanya kamu yang bisa mendengar

Aku ini
Fahamlah
Punya lohong-lohong dalam benak rasa
Punya ruang-ruang minda yang bergema
Punya tempat jiwa yang menanti di-empunya

Aku ini
Kenallah
Tak serupa dia
Tak serupa mereka
Mungkinkah serupa kamu jua?

Aku ini
Bisu
Pekak
Buta
Cacat
Cela!

Nampak tak itu Aku?
Ya, itulah aku!

Jangan kau anggap dia itu dewi pari-pari
Jangan kau anggap dia itu puteri kayangan
Jangan kau anggap dia itu nujum handalan
Tahu serba-serbi
Boleh itu, boleh ini
Mampu segenap segi

Oh, ini aku...

Yang percaya kamu boleh menampung
Yang yakin kamu boleh memenuh
Yang sedar kamu penyempurna

Oh...
Kamu, inilah aku
Kenallah
Ini aku...

Kamu itu serinya Aku

Senandung berhenti. Pentas sunyi. Irama jiwa terlerai dari faham rasa. Jari longlai. Empuhnya hilang. Kudratnya melayang. Tarian yang tadinya galak dengan tenaga rasa, kini mulai henti.

Kata hati: ini malam tari-menari, dengan latar muzik jiwa. Lagunya: Aku dan Pantulnya.

1 comment:

Dendei said...

mahu 'like' ini...hehe...